Antara cara yang digunakan ibu bapa untuk menidurkan anak-anak kecil mereka ialah dengan mendodoikan lagu dan bercerita. Ibu bapa sebenarnya memainkan peranan penting sewaktu menidurkan anak-anak. Mereka boleh membacakan kisah atau cerita daripada buku atau memainkan kaset rakaman kisah klasik kepada anak-anak yang mahu tidur.
Menurut seorang pelatih korporat, Ronny M Cole, perkara ini secara tidak langsung akan menggalakkan perkembangan minda anak-anak serta mewujudkan kasih sayang antara mereka dan ibu bapa.
"Membacakan kisah daripada buku adalah bagus dan ia salah satu cara paling mudah. Ibu bapa bukan sekadar bercerita kepada anak-anak. Contohnya, mereka dapat menggunakan kisah teladan untuk memberi panduan kepada anak-anak agar mereka menjadi gembira dan lebih produktif. Mencipta kisah yang hebat dan menarik akan menukar waktu tidur anak-anak anda kepada aktiviti kekeluargaan yang menyeronokkan," kata Cole. Menurutnya, kisah daripada buku cerita yang direka khas itu boleh membantu anak-anak mengenal pasti emosi yang mereka alami sepanjang hari sambil membawa kepada fokus kegembiraan yang mereka rasai.
"Membaca kisah-kisah sebelum tidur akan meninggalkan kesan positif untuk anak-anak."
Cole menganggarkan dia telah menceritakan lebih 3,000 kisah kepada anaknya. Dia mula mereka cerita atau kisah menarik atas permintaan anaknya ketika tidak terdapat sebarang buku yang boleh ditemui di tempat mereka kunjungi.
Namun Cole turut mengaku imencipta cerita-cerita sebegini adakalanya menakutkan.
"Apabila kali pertama anda mencuba, anda akan berasa agak sukar mereka kisah yang boleh menarik perhatian anak anda.
"Menceritakan kisah sendiri lebih menyebabkan anda terlibat dan sering meletakkan diri anda sebagai subjek.
"Namun sama ada anda mula bercerita dengan baik atau sebaliknya, anak-anak anda akan membesar dengan menyukai cerita yang anda reka bersama mereka," jelasnya.
Cole menegaskan aktiviti itu perlu dilakukan sekurang-kurangnya selama sebulan sebelum anda dapat merasai kesannya.
"Selepas sebulan, anda akan mengetahui sama ada anak anda menyukainya atau mendapat sesuatu daripada kisah yang anda ceritakan.
"Setelah itu, anda juga boleh menyelitkan kisah-kisah pengajaran mengenai moral, sains dan apa sahaja yang anda inginkan."
Tahun lalu, seorang setiausaha kerajaan Britain, Ed Balls memberi respons terhadap kajian bahawa seorang daripada 10 kanak-kanak di negara itu tidak pernah dibacakan buku cerita sebelum tidur. Menurut Balls, bercerita selama 10 minit setiap malam sebelum anak-anak tidur amat penting. Ia umpama satu diet yang baik serta gaya hidup yang sihat.
Beliau turut menjelaskan, aktiviti itu perlu dijadikan rutin harian ibu bapa, sama seperti memberus gigi dan mandi. Bagi Cole pula, dia melihat ibu bapa yang bercerita kepada anak-anak sebelum tidur membawa kesan jangka panjang yang positif dalam diri masing-masing.
Salah satunya ialah ibu bapa akan belajar menjadi kreatif dan secara tidak langsung membantu mereka menjalani kehidupan dengan lebih profesional. Lebih banyak anda bercerita, anda akan menjadi lebih kreatif dalam setiap perkara yang dilakukan. Anda akan dapati banyak idea-idea baru muncul di fikiran anda setiap masa. Manakala kebaikan untuk anak-anak pula ialah mereka turut mempelajari perkara baru dan menjadi lebih aktif dalam proses pembelajaran berdasarkan kreativiti.
Daya Imaginasi dan Kreativiti
Menurut seorang pakar psikologi kanak-kanak, bercerita kepada anak sebelum tidur membawa bawa banyak kebaikan.
"Antara kebaikannya ialah ia dapat membuat anak-anak anda tenang dan berasa relaks. Cerita yang anda perdengar juga boleh membina daya imaginasi mereka dan apabila mereka meningkat usia, akan memberi daya kreativiti yang lebih tinggi," kata beliau.
Dengan bercerita kepada anak anda ketika mereka ingin tidur akan membuat mereka tertunggu-tunggu masa ini kerana mereka akan rasa lebih dekat dengan ibu bapa.
Ia merupakan satu ketika yang akan diingati oleh anak anda seumur hidup beliau. Aktiviti bercerita kepada anak anda sebelum mereka tidur juga akan memupuk tabiat suka membaca anak-anak, selain memberi keseronokan kepada mereka.
"Ini merupakan satu masa yang amat berharga kerana anda boleh bersendirian bersama anak, dalam suasana yang tenang dan tiada gangguan," kata beliau.
Cerita yang Sesuai
Janganlah bercerita tentang cerita-cerita yang seram atau sedih kerana ini akan menggangu alam tidur mereka nanti umpamanya mereka akan bermimpi benda-benda yang menakutkan.
Jadi apakah cerita yang sesuai?
Menurut pakar itu, tidak kira sama ada membaca daripada buku atau bercerita dengan bersahaja, cerita-cerita itu seeloknya mempunyai beberapa ciri seperti situasi yang ada persamaan, cerita tidak terlampau panjang dan juga ada kepelbagaian.
Anda harus menyesuaikan cerita itu dengan sesuatu yang biasa dengan situasi anak anda. Contohnya seorang raja yang mempunyai putera yang nakal atau tentang seseorang yang mempunyai haiwan peliharaannya seperti arnab atau ikan yang boleh berkata-kata.
Atau gambarkan situasi cerita seolah-olah hampir sama dengan tempat anak anda telah lawati seperti zoo atau taman haiwan atau mungkin juga sebuah stor yang menjual barang permainan dan sebagainya. Dengan berbuat begini anda akan membantu anak anda memperkaya imej di minda serta daya imaginasi dan kreativiti mereka.
Ceritanya pula janganlah terlalu panjang.
Panjang ceritanya dalam linkungan 20 minit sahaja. Tujuan bercerita ialah untuk membantu anak anda tidur, jadi ia tidak perlu terlalu panjang. Anak-anak mahukan 'penamat' pada cerita itu, jadi kalau mereka tertidur sebelum cerita itu tamat, mereka akan rasa kecewa.
Kalau membaca daripada buku yang mempunyai beberapa bab, cuba baca dari bahagian ke satu bahagian dan cuba hentikan cerita itu pada satu segmen yang boleh mendatangkan kesimpulan.
Cerita-cerita Islami
Sebagai seorang Islam, kisah-kisah Rasul dan para sahabat amat baik diterapkan dalam jiwa anak-anak. Anak anda biasanya gemar pada sesebuah buku atau beberapa cerita pendek. Ringkaskan cerita yang panjang mengikut gaya bahasa yang sesuai dengan kefahaman mereka. Anda mesti sabar bercerita walaupun anak anda meminta buku yang sama dibaca berulang kali atau juga juga cerita yang sama diperdengar berulang kali.
Mungkin juga anda boleh memberikan sedikit kepelbagaian dengan memperkenal cerita-cerita yang 'baru' atau boleh bercerita cerita kegemaran mereka berselang malam.
Berikan anak anak anda pilihan dan mereka juga sudah tentu mahukan yang baru bila usia meningkat sedikit dan mereka juga akan menemui cerita kegemaran yang baru nanti.
Buku Bergambar
Bila usia anak semakin meningkat, mereka juga akan semakin pandai bercerita. Ketika ini masa bercerita sebelum tidur bukan lagi satu 'one man show' (dilakukan seorang) tetapi anak juga turut terlibat dalam bercerita.
Sebelum mereka pandai membaca, ada baiknya jika mereka diberi buku-buku yang mempunyai banyak gambar atau ilustrasi. Bila mereka mula belajar membaca, adakan banyak gerakan jari dan tunjuk tentang apa yang mereka baca serta juga dengar pertanyaan serta celoteh mereka. Anak kecil biasanya akan mengajukan banyak soalan.
Interaksi sebegini penting untuk mengeratkan hubungan ibu bapa dengan anak.
"Bila anak anda mula membaca tentang satu cerita, jangan ganggu mereka dan biarkan sahaja. Hindarkan daripada memberi komen negatif terhadap cerita mereka".
Cerita sebelum tidur ialah satu momen penting bagi anak anda.
"Mimpilah yang indah"
Sumber : http://www.halaqah-online.com